Jabatan Imigresen Malaysia ยท @imigresenmy

Posted 10 hours ago
349.77K followers
5.8K views
120 likes
4 comments
5 shares

๐—ข๐—ฃ๐—˜๐—ฅ๐—”๐—ฆ๐—œ ๐—ž๐—›๐—”๐—ฆ ๐—๐—œ๐—  ๐—ง๐—จ๐— ๐—ฃ๐—”๐—ฆ๐—ž๐—”๐—ก ๐—˜๐—๐—˜๐—ก ๐—›๐—”๐—ฅ๐—”๐— , ๐—–๐—”๐—ฃ ๐——๐—œ๐—ฆ๐—ฌ๐—”๐—ž๐—œ ๐—ฃ๐—”๐—Ÿ๐—ฆ๐—จ ๐——๐—œ๐—ง๐—˜๐— ๐—จ๐—œ Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menumpaskan kegiatan sepasang suami isteri warganegara Vietnam yang bertindak sebagai ejen haram dengan menawarkan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen kepada warga asing dalam satu Operasi Khas di sekitar Jalan Bemban, Ampang, Kuala Lumpur pada 11 September 2026 dan menahan pasangan suami isteri warganegara Vietnam berusia 34 tahun. Turut ditemui bersama pasangan tersebut ialah seorang kanak-kanak lelaki warganegara Vietnam berusia 10 bulan yang dipercayai anak mereka. Hasil pemeriksaan di premis berkenaan, pasukan operasi telah menyita tujuh naskhah pasport Vietnam dan lima unit cap pihak berkuasa Vietnam yang disyaki palsu. Turut disita sebuah telefon bimbit, satu set komputer meja, salinan perjanjian sewaan premis kediaman, beberapa helai borang pengesahan warganegara Vietnam dan borang permohonan pasport Vietnam. Sebuah kenderaan jenis Ford Kuga yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan. Siasatan awal mendapati pasangan tersebut bertindak sebagai ejen haram dengan menawarkan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen khususnya kepada warganegara Vietnam. Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk menguruskan lanjutan pas, Pas Khas serta tiket penerbangan pulang ke Vietnam bagi PATI yang berada di Depot Imigresen. Bayaran yang dikenakan mencecah sehingga RM12,000 bagi setiap individu bergantung kepada jenis urusan yang dilakukan. Kegiatan tersebut dipercayai telah beroperasi sejak tahun lalu. Semakan awal mendapati lelaki warganegara Vietnam berkenaan telah tinggal lebih masa, manakala isterinya memiliki Pas Pembantu Rumah Asing (PRA). Kanak-kanak yang ditemui bersama pasangan tersebut pula didapati tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini. JIM sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap penemuan cap pihak berkuasa Vietnam yang disyaki palsu serta dokumen dan peralatan lain yang disita bagi mengenal pasti modus operandi dan kemungkinan penglibatan individu lain dalam kegiatan tersebut. Jabatan akan terus mempergiatkan risikan dan tindakan penguatkuasaan terhadap individu atau pihak yang mengambil kesempatan dengan menawarkan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen secara tidak sah serta sebarang kegiatan yang melibatkan penyalahgunaan atau pemalsuan dokumen perjalanan.