Posted 2 days ago
349.77K followers
1.81K views
35 likes
0 comments
3 shares
๐๐๐ ๐ฃ๐จ๐ก๐ ๐ก๐๐ก๐๐ฆ๐ ๐๐๐ก ๐ฆ๐ ๐ก๐๐ก๐๐ฆ๐ ๐๐๐ฃ๐๐๐๐ ๐ฆ๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐ ๐ฃ๐จ๐ก๐ ๐๐ก๐๐๐๐ง ๐ ๐๐๐๐ก๐ ๐๐๐ก ๐ฆ๐๐๐ข๐๐๐ ๐๐ก๐๐๐๐ง ๐ ๐๐๐๐ก๐ ๐๐๐ ๐ฎ๐ฌ๐ฎ๐ฒ
PEKAN, 12 September 2026 โ Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus memperluas peranannya dalam mendukung agenda kesejahteraan rakyat menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI JIM Tahun 2026 di Kampung Nenasi, Mukim Bebar, Pekan, Pahang.
Majlis peluncuran program telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri, di Sekolah Kebangsaan Nenasi hari ini.
Bagi tahun 2026, Kampung Nenasi dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI JIM, manakala Sekolah Kebangsaan Nenasi sebagai Sekolah Angkat MADANI JIM. Pemilihan tersebut telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan, dengan Kolej Komuniti Rompin turut terlibat sebagai rakan strategik Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Program Kampung Angkat MADANI merupakan pendekatan whole of government yang menggembleng sumber, kepakaran dan keupayaan kementerian serta agensi bagi meningkatkan kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti berdasarkan keperluan setempat.
Antara inisiatif yang dirancang di Kampung Nenasi ialah menaik taraf Masjid Nenasi dan Balai Raya Kampung Nenasi Darat, membaik pulih gelanggang futsal, menaik taraf pejabat pentadbiran Badan Khairat Kematian Orang-Orang Islam Mukim Bebar, menyediakan kemudahan khemah komuniti serta memasang lampu jalan solar.
Pelaksanaan program turut diperkukuh melalui kerjasama TVET bersama Kolej Komuniti Rompin melibatkan antaranya pemasangan dan penyelenggaraan penghawa dingin domestik, kerja pendawaian elektrik dan pemasangan CCTV di lokasi terpilih, program servis motosikal dan kenderaan ringan serta program berkaitan penghasilan makanan, masakan dan pramusaji bersama komuniti.
Selain pembangunan fizikal, perhatian turut diberikan kepada pembangunan pendidikan dan sahsiah generasi muda melalui Program Tuisyen MADANI, Program Motivasi Pelajar Unggul: Bebas Buli dan DaRVIH serta Bengkel Teknik Menjawab SPM 2026 untuk pelajar SMK Nenasi.
Di bawah Program Sekolah Angkat MADANI pula, RM100,000 diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan Nenasi bagi pelaksanaan program dan penambahbaikan kemudahan sekolah. Inisiatif yang dirancang merangkumi pembangunan akademik, sukan, kokurikulum, sahsiah dan literasi digital serta naik taraf Bilik Interaktif Bacalah Sayangku, Bilik Gerakan, Makmal Komputer dan Pusat Sumber Sekolah.
Menerusi pelaksanaan kedua-dua program ini, JIM bukan sahaja melaksanakan fungsi teras berkaitan imigresen, malah turut menyumbang kepada agenda pembangunan masyarakat melalui pendekatan perkhidmatan awam yang lebih dekat dengan rakyat.
Program ini juga menekankan aspek kesinambungan dan pemantauan bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberikan manfaat yang nyata kepada masyarakat Kampung Nenasi serta warga sekolah.
Kerjasama antara Kerajaan, institusi pendidikan, pentadbiran tempatan dan komuniti diharapkan dapat menjadikan Kampung Nenasi sebagai contoh pelaksanaan pembangunan yang memberi perhatian secara seimbang kepada aspek infrastruktur, pendidikan, sosial dan kesejahteraan masyarakat.