CID_RMP · @cidrmp

Posted 6 days ago
236.23K followers
13.2K views
476 likes
3 comments
34 shares

𝗠𝗔𝗝𝗟𝗜𝗦 𝗔𝗡𝗝𝗨𝗥𝗔𝗡 𝗝𝗔𝗕𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗦𝗜𝗔𝗦𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗝𝗘𝗡𝗔𝗬𝗔𝗛: 𝗞𝗘𝗦𝗜𝗡𝗔𝗠𝗕𝗨𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗣𝗜𝗠𝗣𝗜𝗡𝗔𝗡, 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗜𝗞𝗧𝗜𝗥𝗔𝗙𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗖𝗘𝗠𝗘𝗥𝗟𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2026 – CP Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (PJSJ), hari ini menyempurnakan Majlis Anjuran Jabatan Siasatan Jenayah yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman. Antara pengisian utama majlis ialah Upacara Serah Terima Tugas Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) JSJ antara SAC Afzanizar Ahmad dengan DCP Datuk Mohamad Farouk Eshak, yang disaksikan oleh CP Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu. Majlis turut menyaksikan Upacara Serah Terima Tugas Ketua Penolong Pengarah D7 JSJ antara DCP Datuk Mohamad Farouk Eshak dengan SAC Basri Sagoni, yang turut disaksikan oleh Pengarah JSJ. Kedua-dua upacara ini melambangkan kesinambungan kepimpinan serta komitmen jabatan dalam memastikan amanah dan tanggungjawab terus dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berkesan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 kepada seramai 123 orang warga Jabatan Siasatan Jenayah sebagai pengiktirafan terhadap prestasi, komitmen dan kecemerlangan dalam perkhidmatan. Turut menjadi pengisian penting ialah Majlis Peluncuran 10 Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu Jabatan Siasatan Jenayah. Peluncuran SOP tersebut merupakan langkah strategik JSJ dalam memperkemas dan menyeragamkan tatacara kerja serta proses siasatan agar setiap tindakan dilaksanakan secara lebih sistematik, konsisten dan berlandaskan peruntukan undang-undang. Inisiatif ini turut memperkukuh aspek tadbir urus, integriti serta profesionalisme dalam penyampaian perkhidmatan JSJ. Dalam ucapannya, PJSJ menegaskan bahawa penganjuran majlis ini membawa satu mesej yang sama, iaitu “Amanah, Prestasi dan Kecemerlangan.” Setiap pelantikan bukan sekadar pertukaran jawatan, sebaliknya satu penyerahan amanah yang perlu diterjemahkan melalui prestasi dan kecemerlangan. Bersempena genap setahun beliau menerajui JSJ sejak 8 Ogos 2025, PJSJ turut menekankan semangat kebersamaan menerusi ungkapan, “If you want to go fast, go alone. But if you want to go far, go together.” Beliau menegaskan bahawa kecemerlangan JSJ bukan hasil seorang individu, sebaliknya kejayaan bersama seluruh warga Jabatan. Turut diadakan Majlis Kesyukuran Setahun Kecemerlangan Jabatan Siasatan Jenayah, sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian dan kejayaan yang diraih hasil komitmen, kerja keras serta semangat berpasukan seluruh warga jabatan. Hadir sama pada Majlis tersebut DCP Datuk Mohd Sukri Kaman, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/ Operasi), DCP Datuk Mohd Fazley Ab Rahman, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/ Perundangan), Ketua-Ketua Penolong Pengarah, Penolong-Penolong Pengarah, Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis.