Diposting 3 minggu-minggu lalu
4.44K pengikut
1.65K views
82 likes
3 comments
5 shares
𝐏𝐄𝐑𝐔𝐓𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐘𝐀𝐁𝐑𝐒 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐀𝐑𝐀𝐇 𝐘𝐀𝐘𝐀𝐒𝐀𝐍 𝐈𝐒𝐋𝐀𝐌 𝐊𝐄𝐋𝐀𝐍𝐓𝐀𝐍 𝐒𝐄𝐌𝐏𝐄𝐍𝐀 𝐒𝐀𝐌𝐁𝐔𝐓𝐀𝐍 𝐆𝐔𝐑𝐔 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟔 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Firman Allah SWT : مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتٰبَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبّٰنِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتٰبَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ “𝘛𝘪𝘥𝘢𝘬𝘭𝘢𝘩 𝘱𝘢𝘵𝘶𝘵 𝘣𝘢𝘨𝘪 𝘴𝘦𝘴𝘦𝘰𝘳𝘢𝘯𝘨 𝘮𝘢𝘯𝘶𝘴𝘪𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 𝘣𝘦𝘳𝘪𝘬𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘥𝘢𝘯𝘺𝘢 𝘒𝘪𝘵𝘢𝘣 𝘢𝘨𝘢𝘮𝘢 𝘥𝘢𝘯 𝘩𝘪𝘬𝘮𝘢𝘵 𝘴𝘦𝘳𝘵𝘢 𝘱𝘢𝘯𝘨𝘬𝘢𝘵 𝘕𝘢𝘣𝘪, 𝘬𝘦𝘮𝘶𝘥𝘪𝘢𝘯 𝘪𝘢 𝘵𝘦𝘳𝘨𝘢𝘮𝘢𝘬 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘢𝘵𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘰𝘳𝘢𝘯𝘨 𝘳𝘢𝘮𝘢𝘪: "𝘏𝘦𝘯𝘥𝘢𝘬𝘭𝘢𝘩 𝘬𝘢𝘮𝘶 𝘮𝘦𝘯𝘫𝘢𝘥𝘪 𝘰𝘳𝘢𝘯𝘨-𝘰𝘳𝘢𝘯𝘨 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘮𝘦𝘯𝘺𝘦𝘮𝘣𝘢𝘩𝘬𝘶 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘮𝘦𝘯𝘪𝘯𝘨𝘨𝘢𝘭𝘬𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘳𝘣𝘶𝘢𝘵𝘢𝘯 𝘮𝘦𝘯𝘺𝘦𝘮𝘣𝘢𝘩 𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩". 𝘛𝘦𝘵𝘢𝘱𝘪 (𝘴𝘦𝘱𝘢𝘵𝘶𝘵𝘯𝘺𝘢 𝘪𝘢 𝘣𝘦𝘳𝘬𝘢𝘵𝘢): "𝘏𝘦𝘯𝘥𝘢𝘬𝘭𝘢𝘩 𝘬𝘢𝘮𝘶 𝘮𝘦𝘯𝘫𝘢𝘥𝘪 𝘰𝘳𝘢𝘯𝘨-𝘰𝘳𝘢𝘯𝘨 𝘙𝘢𝘣𝘣𝘢𝘯𝘪𝘺𝘪𝘯 (𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘩𝘢𝘯𝘺𝘢 𝘮𝘦𝘯𝘺𝘦𝘮𝘣𝘢𝘩 𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 𝘛𝘢𝘢𝘭𝘢 - 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘪𝘭𝘮𝘶 𝘥𝘢𝘯 𝘢𝘮𝘢𝘭 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘴𝘦𝘮𝘱𝘶𝘳𝘯𝘢), 𝘬𝘦𝘳𝘢𝘯𝘢 𝘬𝘢𝘮𝘶 𝘴𝘦𝘯𝘵𝘪𝘢𝘴𝘢 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘢𝘫𝘢𝘳𝘬𝘢𝘯 𝘪𝘴𝘪 𝘒𝘪𝘵𝘢𝘣 𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 𝘪𝘵𝘶, 𝘥𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘳𝘢𝘯𝘢 𝘬𝘢𝘮𝘶 𝘴𝘦𝘭𝘢𝘭𝘶 𝘮𝘦𝘮𝘱𝘦𝘭𝘢𝘫𝘢𝘳𝘪𝘯𝘺𝘢.” (Surah Ali Imran : 79) Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kasih sayang-Nya, kita sekali lagi diberi kesempatan untuk menyambut Hari Guru tahun 2026 sebagai tanda penghargaan terhadap insan mulia yang mendidik, membimbing dan membina generasi masa depan negara. Saya mengambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga pendidik Yayasan Islam Kelantan (YIK) serta semua guru di seluruh Malaysia atas komitmen, kesungguhan dan pengorbanan yang tidak ternilai dalam mendidik anak bangsa. Sesungguhnya, jasa para guru amat besar maknanya dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak mulia, berdaya saing serta mampu memimpin masyarakat dengan nilai dan prinsip yang benar. Guru bukan sekadar penyampai ilmu, bahkan merupakan murabbi, pendidik dan pembina peradaban ummah. Dalam kerangka Pendidikan Rabbani, setiap guru memikul amanah besar untuk membentuk pelajar yang seimbang dari sudut intelek, rohani, emosi dan jasmani. Guru perlu menghubungkan ilmu dengan iman, memandu akal dengan wahyu serta membentuk sahsiah pelajar agar menjadi insan bertaqwa dan berakhlak. Seiring dengan perkembangan dunia pendidikan yang semakin mencabar, para guru hari ini berhadapan dengan pelbagai perubahan termasuk kemajuan teknologi, keperluan pembelajaran abad ke-21 dan cabaran sosial yang semakin kompleks. Justeru, guru perlu sentiasa bersedia, kreatif, inovatif dan profesional dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik. Saya yakin seluruh guru YIK khususnya, dan para pendidik di Malaysia amnya, mampu terus memainkan peranan besar sebagai tonggak utama dalam membina generasi masa hadapan yang cemerlang. Sempena sambutan Hari Guru ini, saya ingin mengucapkan 𝐒𝐞𝐥𝐚𝐦𝐚𝐭 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐆𝐮𝐫𝐮 kepada seluruh warga pendidik YIK dan semua guru di Malaysia. Terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan dedikasi yang dicurahkan. Sesungguhnya, guru adalah insan istimewa yang menjadi nadi kekuatan pendidikan negara serta pembina masa depan ummah. Akhir kata, marilah kita terus beristiqamah, bersemangat dan komited dalam melaksanakan amanah yang mulia ini. Semoga segala usaha dan pengorbanan para guru sentiasa diberkati Allah SWT serta dikurniakan ganjaran yang besar di dunia dan akhirat. 𝐒𝐞𝐥𝐚𝐦𝐚𝐭 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐆𝐮𝐫𝐮 “𝐆𝐮𝐫𝐮 𝐁𝐢𝐭𝐚𝐫𝐚 𝐍𝐚𝐝𝐢 𝐍𝐞𝐠𝐚𝐫𝐚” “𝐏𝐞𝐧𝐝𝐢𝐝𝐢𝐤 𝐑𝐚𝐛𝐛𝐚𝐧𝐢 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐒𝐞𝐣𝐚𝐡𝐭𝐞𝐫𝐚” Ikhlas daripada, 𝐇𝐉 𝐒𝐇𝐀𝐌𝐒𝐔𝐋 𝐁𝐈𝐍 𝐀𝐁𝐔 𝐁𝐀𝐊𝐀𝐑 Pengarah Yayasan Islam Kelantan