Publicado por 5 dias hace
230.1K seguidores
3.12K views
98 likes
0 comments
11 shares
𝗞𝗘𝗦 𝗧𝗘𝗧𝗔𝗞 𝗗𝗜𝗛𝗔𝗗𝗔𝗣𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗗𝗔𝗜 𝗠𝗔𝗞𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗡 𝗠𝗜𝗡𝗨𝗠; 𝟳 𝗜𝗡𝗗𝗜𝗩𝗜𝗗𝗨 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔 𝟱 𝗠𝗔𝗦𝗜𝗛 𝗕𝗘𝗕𝗔𝗦 𝗗𝗜𝗗𝗔𝗞𝗪𝗔 𝗕𝗨𝗡𝗨𝗛 PONTIAN, 4 Jun 2026: Seramai tujuh individu telah didakwa di Mahkamah Majistret Pontian hari ini atas pertuduhan membunuh secara berkumpulan. Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tempoh empat puluh tahun serta sehingga dua belas kali sebatan, jika tidak dihukum mati. Kesemua tertuduh, yang berusia di antara 18 hingga 22 tahun, didakwa secara bersama membunuh seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun. Kejadian dilaporkan berlaku di hadapan sebuah kedai makan di Pekan Nanas, pada awal pagi 21 Mei yang lalu. Sewaktu mangsa bersama enam individu lain sedang minum, mangsa didatangi tertuduh-tertuduh yang bertindak menyerangnya dengan menggunakan senjata. Mangsa kemudiannya disahkan maut di lokasi kejadian, dengan beberapa kesan luka parah di bahagian lengan dan kaki. Bertindak atas siasatan serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kedai berhampiran, pada 21 Mei yang lalu, sepasukan pegawai dan anggota dari D9 IPK Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pontian telah menggerakkan satu operasi dan memberkas tertuduh-tertuduh yang bersembunyi di sebuah rumah inap desa di Taman Desa Botani, Batu Pahat, Johor. Pihak polis turut merampas dua buah kenderaan, serta beberapa helai pakaian dipercayai terkait kes. Motif kejadian dipercayai berpunca daripada hubung kait dengan elemen kumpulan kongsi gelap termasuk kegiatan merekrut ahli baru. Dalam kamar pertuduhan hari ini, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes ini merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Majistret Puan Nirhafiza Bt Haron tidak membenarkan sebarang jamin dan menetapkan 9 Julai 2026 untuk sebutan semula kes. #JabatanSiasatanJenayah #POLISDIRAJAMALAYSIA #CIDRMP